Langkah 1
~~~~~~~
Mengaku salah - anda seharusnya mengaku bahawa anda adalah punca segala masalah. Tidak rugi mengaku bersalah. Sebenarnya dalam masyarakat kita begitu susah untuk mengaku salah melainkan hanya menuding jari mencari kesalahan orang lain. Berterus terang dengan kawan bahawa anda benar-benar terluka dengan sikap mereka. Tetapi tiada guna anda terus bermasam muka dan daripada awal lagi anda sudah memaafkan mereka. Sikap berterus terang akan melegakan hati dan perasaan anda yang sakit hati akan terubat dengan sendirinya. Jika tidak percaya cuba lakukannya pasti anda dapat merasakan masalah pergi dengan sendirinya dan kepala anda akan berehat dengan tenang.
Langkah 2
~~~~~~~
Jangan terburu-buru - Apabila mahu memaafkan seseorang janganlah terburu-buru melakukannya lebih-lebih lagi teman tersayang anda. Anda akan merasakan anda tidak boleh hidup tanpa mereka kerana semua aktiviti harian dilakukan bersama-sama. Apabila seseorang yang rapat dengan kita menggores hati pasti secara tidak langsung perasaan kita akan menjadi keliru. Perasaan sayang kita kepada mereka mula bercelaru dengan pengalaman yang baru berlaku. Sebelum anda melakukan sesuatu, tarik nafas dalam-dalam dan berfikiran sewajarnya dan ambil sebanyak masa yang anda perlukan. Buatlah keputusan yang sebaiknya sama ada anda mahu memaafkan mereka kerana anda betul-betul ikhlas memaafkan ataupun sekadar memaafkan untuk mengambil hati mereka. Apabila telah menemui keputusan muktamad , hendaklah yakin dengan keputusan yang anda buat.
Langkah 3
~~~~~~~
Tanya kepada diri sendiri - Selalu bertanya kepada diri sendiri adakah perkara yang boleh anda lakukan untuk menghindarkan perselisihan berlaku. Hal ini bukan bermakna anda perlu memaksa sahabat untuk menyakiti hati anda tetapi apabila selalu terjadi maka anda akan tahu apa yang boleh dielakkan daripada berlaku atau tahu apa yang boleh berlaku. Adakah anda akan menilai yang baik dalam diri sahabat atau membiarkan saja ia berlalu ? Adakah anda memilih untuk percaya kepada sesuatu yang anda tahu bahawa sebenarnya ia hanya pembohongan semata-mata. Adakah anda sebenarnya berusaha mengatasi masalah anda bersamanya atau anda meminta bantuan rakan yang lain untuk khidmat nasihat ? Soalan-soalan ini secara jujur boleh membantu anda untuk berehat sebentar mengaudit diri sendiri dan memastikan agar anda tidak terluka lagi.
Langkah 4
~~~~~~~
Jangan tunggu - Jangan sekali-kali anda berlengah untuk memaafkan orang yang anda rapat. Pasti membanggakan sahabat yang memulakan persengketaan itu dapat melihat di mana silapnya hubungan anda dengan mereka. Mana tahu sebelum anda menuturkan kata maaf terlebih dulu mereka yang mengucapkannya. Perbuatan memaafkan membuatkan mereka terfikir sejenak, tiada guna terus bermasam muka. Sedangkan perbuatan bermasam muka itu adalah sikap yang tidak baik dan tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada kedua belah pihak. Daripada kedua dua anda sakit hati lebih baik sama-sama memaafkan, bak kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih.
Langkah 5
~~~~~~~
Tidak perlu keliru - Apabila rakan anda menyakiti hati anda itu tiba tiba datang meminta maaf, janganlah anda keliru. Jangan keliru dengan kemaafan yang mengatasi segalanya ataupun kemaafan yang menerima apa apa saja yang terjadi. Jika mereka datang dengan kata maaf yang sesungguhnya maka, maafkanlah mereka dengan hati yang terbuka. Minta mereka berjanji agar tidak melakukan perkara yang menyakitkan itu lagi. Namun, jika mereka melahirkan kata maaf tetapi anda boleh lihat tiada langsung terpancar keikhlasan dalam hati mereka cubalah memaafkan juga tetapi sentiasa berhati-hati kerana ia mungkin akan berulang lagi. Mencegah lebih baik dari mengubati, kerana mengubati hati yang sakit mengambil masa agak lama.
Langkah 6
~~~~~~~
Bersikap Terbuka - Janganlah anda mengambil sikap sombong jika sahabat karib menghulurkan kata maaf. Sebagai manusia biasa mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan, Memang kita tidak boleh mengulangi masa lampau tetapi cubalah bersikap terbuka, positif dan sentiasa memaafkan. Perbuatan memaafkan ini merupakan terapi baik untuk hati. Anda perlu cuba mencari jalan mengatasi dan maafkanlah mereka. Memang mereka tidak punyai kuasa untuk menghilangkan kekecewaan tetapi itu semua bergantung kepada diri anda sendiri.
Langkah 7
~~~~~~~
Jangan takut bertanya kedua kali - Sebagai seorang yang sudah matang dalam kehidupan, anda tidak perlu takut untuk bertanya kali kedua. Proses kemaafan bukanlah perkara yang mudah. Oleh itu cubalah sebaik mungkin dengan tiada paksaan. Mungkin anda mengambil masa untuk mengatasi perasaan yang sakit itu. Jika seseorang benar benar memerlikan kemaafan pasti dia akan benar benar berusaha untuk mencapainya.
Sumber : Majalah Midi 15 Oktober 2009, ms 94-95
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hari semalam di petang yang tak berapa nak indah....Ini pertama kali terjumpa, terbeli dan terbaca majalah Midi. Hmmm.... mungkin tetiba berjodoh pulak nak bertemu majalah ni... huhu....Sebelum ni memang tak pernah dengar langsung pasal majalah ni.
Kerana diriku ini tetibe jer rasa tak boleh nak concentrate lagi buat keje kat opis sebab jiwa kacau dapat sejibik email ....lantas ku angkut beg keluar dari ofis dan melepak di kedai buku.... perghh macam la opis tu dia yang punya share... Mula-mula tu masa melepak kat kedai buku mamak di sebuah kawasan perumahan terkemuka di Kuala Lumpur tercinta ni, cuma belek-belek gitu-gitu apek jer majalah ni....belek-punya-belek terjumpa a nice artikel, tapi bukan artikel ditulis di atas tau .... artikel yang lain tajuknya 'Bersabar Gunakan Akal yang Tajam'.... tengah-tengah baca tu macam tak sedap hati la pulak sebab ada mata-mata yang menjeling (kalo jeling nak ngorat ok gak la.... tapi ni jeling macam nak makan orang je)
So tak semena-mena hanya kerana nak habiskan baca artikel tadi tu terkorban la RM4.20.....tapi Alhamdulillah memang tak rugi pon, banyak informasi yang berguna ada dalam majalah ni. Dalam masa 2 jam je dah abes melayan baca kat library sebelah rumah ni. Bila dah habis melayan barulah tersedar iklan kat mukasurat belakang akan tema Majalah Midi ni 'Satu-satunya majalah untuk wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia'... Alamak belum cukup umur la !!
No comments:
Post a Comment