Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus www.hmetro.com.my
IMAGINASI kanak-kanak memang tiada had sempadan. Ada yang gemar tampil dengan pakaian super hero kegemaran atau berangan menjadi puteri.Namun, tidak semua imaginasi itu bagus untuk proses pembesaran kanak-kanak kerana ada ketikanya halusinasi itu mampu mendorong kepada kelakuan yang menakutkan. Bagi, pasangan Michael dan Susan Schofield, mereka tahu bagaimana penyakit mental mampu merosakkan kehidupan indah seorang kanak-kanak. Anak mereka, January ' Jani', 7, disahkan mengidap penyakit schizophrenia yang amat jarang ditemui pada kanak-kanak.
Berdasarkan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), schizophrenia adalah satu penyakit kerosakan otak yang menyebabkan penghidapnya mendengar suara ghaib dan menyalah anggap kehidupan realiti.
Dalam sesetengah kes, pesakit turut menganggap masyarakat sekeliling merancang untuk memusnahkan mereka dan akhirnya berlaku kemurungan dan kelakuan yang luar biasa. Michael yang juga seorang profesor bahasa Inggeris di sebuah kolej berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jani 'bertemu' lebih 200 jenis kucing, anjing, burung dan kanak-kanak kecil yang anaknya saja boleh melihatnya.
Sejak hari pertama Jani dilahirkan, Michael berkata dia dan Susan mengesan sesuatu luar biasa pada anak sulungnya. Deria Jani lebih bijak berbanding bayi seusia dengannya dan anaknya itu mempunyai tabiat tidur yang berlainan. "Kebanyakan bayi tidur kira-kira 16 jam sehari tetapi Jani hanya tidur sekitar 20 minit setiap kali ditidurkan. "Ia menyebabkan Jani hanya tidur empat jam saja sehari" katanya. Selain itu, apabila usianya mencecah dua tahun, Jani menggelarkan dirinya dengan pelbagai nama termasuk Blue- Eyed Tree Frog serta Jani Firefly.
Imaginasi Jani juga semakin kuat daripada tahun ke tahun dan ketika umurnya mencecah lima tahun, kelakuannya semakin berbahaya serta sukar dikawal. "Jani akan mencakar badannya sehingga keluar darah. Dia cuba mencakar muka saya dan mengeluarkan mata. "Tetapi beberapa saat kemudian, Jani kembali normal dan berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku. "Kelakuan Jani memang menakutkan tetapi saya dan isteri perlu sentiasa berwaspada memandangkan Jani kini mempunyai adik lelaki, Bodhi," katanya. Jani pernah memberitahu kepada mereka mengenai haiwan imaginasinya bernama Wednesday dan 400 yang menyuruh dirinya untuk memukul sesuatu. Seandainya Jani enggan, haiwan itu dikatakan akan mencakar serta menggigitnya. Susan berkata, dia dan suaminya pernah menemui Jani yang cuba terjun daripada tingkap biliknya kerana marah dihukum berada dalam biliknya. Namun, Jani seorang kanak-kanak yang pintar dan amat meminati Sains serta Matematik. "Jani pernah diuji dan markah tahap kecerdasannya ialah 146. Ia ternyata amat mengejutkan kami," katanya.
Antara Januari hingga Ogos tahun ini, Jani dimasukkan ke wad psikiatrik Pusat Perubatan UCLA sebanyak tiga kali selama 174 hari. Pakar, Dr Mark DeAntonio berkata, kes seperti itu amat jarang dijumpai pada kanak-kanak seusia dengan Jani. "Keadaan yang dialami Jani amat menakutkan dan mengganggu proses pembesarannya. Penyakit itu mungkin satu dijumpai dalam tempoh 20 tahun," katanya. Penyakit itu memang sukar untuk diubati tetapi doktor masih berusaha mengawal kelakuan luar biasanya dengan memberi ubat kuat."Jani mengambil 200 miligram (mg) Clozaril dan 600 mg litium setiap hari. Ubat itu amat kuat untuk mengawal otaknya kerana Clozaril adalah penyelesaian terakhir bagi pengidap Schizohrenia dewasa," kata doctor. Biarpun mengambil ubat, kelakuan Jani tetap sukar dikawal. Justeru, mereka terpaksa memisahkan Jani dari adiknya."Kami sukar melelapkan mata tanpa memikirkan keselamatan Bodhi kerana Jani boleh menyerangnya pada bila-bila masa," katanya.
Bagi memberi peluang kepada anaknya itu untuk menikmati kehidupan yang normal, mereka menghantar Jani ke sekolah awam yang menyediakan guru khas. "Jani tidak berkawan dengan kanak-kanak lain seperti yang kami harapkan kerana dia hanya bermain dengan haiwan imaginasinya iaitu seekor cicak bernama Spikes. "Sebagai ibu bapa, kami tidak akan berputus asa mengubati penyakit Jani," katanya.
Masalah Jani menyebabkan hubungan Michael dan Susan retak. "Pernah saya memikirkan untuk menamatkan semua ini dengan cepat kerana sudah tidak tahan. "Saya pernah cuba membunuh diri dengan mengambil ubat penenang." katanya Sementara itu, kisah keluarga ini turut menarik perhatian selebriti terkenal, Oprah Winfrey yang sanggup terbang daripada California untuk menghabiskan masa sepetang bersama keluarga berkenaan. Selepas sejam, Oprah mengakui dia tidak mempunyai kesabaran dan ketabahan seperti yang dimiliki pasangan itu. "Saya tertanya-tanya bagaimana pasangan ini dapat melaluinya sejak bertahun-tahun sedangkan untuk sejam pun saya tidak tahan menjaganya. "Itulah istimewanya hubungan ibu bapa dan anak. Apa yang menggembirakan saya ialah pasangan Michael dan Susan berjanji untuk menjaga Jani sebaik mungkin," kata Oprah dalam rancangan bual bicaranya, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment