Wednesday, 10 February 2010

Godaan Aweks

Tulisan kali ni agak lain sikit dari biasa. Boleh juga dikatakan tulisanku kali ini agak jiwang sikit almaklumlah entri luahan perasaan. Bukan kisah jiwang yang lagaknya seperti remaja yang kemaruk cinta tetapi kisah seseorang yang berhadapan dengan peristiwa membuka mata, minda dan mata hati tentang insan bernama lelaki dari saat pemergian ayahanda tercinta sehingga ke hari ini.

Ini kisah luahan hati dari yang empunya blog. Luahan hati yang merangkum ruang masa yang agak panjang tetapi diringkaskan menjadi satu entri di dalam blog. Rasa yang bermula setelah pemergian ayahanda tercinta ke Rahmatullah pada 4 Mei 2009. Pemergian satu-satu lelaki dalam hidup ini yang paling disayangi dan dipercayai pada saat dan ketika ini. Memandangkan saudari empunya blog ini masih lagi bujang trang tang tang dan tidak mempunyai adik beradik lelaki, maka setelah pemergian arwah hanya pak cik-pak cik dan sepupu-sepupu lelaki menjadi pengganti tempat menumpang kasih sayang bagi mengubat kerinduanku kepada arwah abah walaupun tidak setara kasihnya.

Setelah pemergian abah, kami semakin rapat dengan sepupu-sepupu lelakiku yang kebanyakkannya muda-muda remaja lagi, masih belasan dan di awal 20-an. Mungkin kerana mereka kasihan melihat kami 3 beranak yang kesemuanya perempuan maka masing-masing di atas nama persaudaraan berlagak seperti sukarelawan menjadi ‘Pak Guard’ tak bergaji untuk kami sekeluarga. Maka bergilir-gilirlah mereka silih berganti datang melepak di rumah.

Dari situlah bermulanya bermacam-macam ragam remaja terutamanya lelaki diketahui dan diperlihatkan oleh mereka kepadaku secara siaran langsung bak kata orang putih ‘live telecast’. Mungkin kerana faktor kami mempunyai pertalian darah, maka diriku dan adik perempuanku dengan mudahnya telah diterima sebagai sebahagian daripada konco-konco mereka yang digelar enam-jahanam. Bunyi macam sebuah kumpulan yang ganas tapi mereka bukanlah sejahat penjenayah yang bermastautin di dalam penjara sungai buluh tapi masih boleh juga dikategorikan sebagai budak-budak nakal abad ini.

Hasil lepakan-lepakan aku bersama mereka, apa yang aku dapati topik utama perbualan mereka adalah mengenai ‘aweks’. Walaupun pada mulanya topik ‘aweks’ masih diselang-selikan dengan topik mengumpat saudara-mara kami yang lain tetapi lama kelamaan habis segala macam rahsia tentang godaan aweks-aweks telah terbongkar ke pengetahuan kami; sehinggakan ada yang mengaku sudah tiada ‘dara’ akibat tidak tahan godaan ‘aweks-aweks’ zaman sekarang. Mengucap panjang aku bila mengetahui rahsia mereka ini.

Baru ku sedar sungguh kuat rupanya godaan ‘aweks’ terhadap kaum bernama lelaki. Bagi yang lemah imannya memang mudah terjerumus ke lembah maksiat. Dengan kemudahan-kemudahan canggih yang ada pada zaman ini contohnya internet, handphone, blackberry, broadband dan lain-lain secara tak langsung memudahkan lagi capaian mereka kepada ‘aweks-aweks’ ini. Menggapai cinta ‘aweks’ cun pada mereka adalah ‘target’ utama mengalahkan cinta mereka kepada Allah, ibu bapa, adik beradik dan saudara mara.


Dalam sekelompok ‘Pak Guard’ tak bertauliah kami ni, ada seorang yang menarik perhatianku. Orangnya sungguh tulus mengatakan tentang godaan ‘aweks’ kepadaku. Sungguh ‘direct’, sehingga kadang-kadang ku merasa gerun dan takut tentang nafsu lelaki terhadap perempuan. Pada suatu hari, kami berjalan-jalan bersama di sebuah pusat membeli-belah yang dipenuhi oleh ‘aweks’ yang kebanyakannya memakai pakaian yang ‘tertonjol sana tertonjol sini’. Dia berkata kepadaku berjalan-jalan di sini seolah-olah dibelanja pertunjukkan melihat aset-aset ‘aweks’ secara percuma. Antara komennya yang paling memeranjatkan 'Waaah... awek tu kalau pakai baju macam tu memang senang nak bagi orang seluk.. !!!!'... sungguh kuat imaginasimu wahai saudaraku....tahukah kamu bahawa perkara yang kamu beritahukan kepadaku itu berkaitan dengan kaum sejenis denganku ? Aku hanya mampu terkedu mendengar kata-katanya...


Aku juga sebagai seorang ‘aweks’, apabila dihidangkan dihadapanku tentang komen-komen daripada saudaraku tentang ‘aweks’ secara automatiknya telah meningkatkan kesedaran aku tentang betapa lemahnya lelaki terhadap godaan ‘aweks’. Kesedaran ini memberi ingatan kepadaku agar sentiasa menjaga maruah sebagai seorang ‘aweks’. Semoga Allah melindungiku dari godaan nafsu syaitan sama ada ia datang datang daripada diriku sendiri atau orang lain. Kuatkan imanku ya Allah. Buat saudara-mara lelakiku, terutamanya enam-jahanam, hanya nasihat dari seorang ‘aweks’ yang ingin dijaga maruahnya yang hanya mampu dititipkan kepada mereka. Aku hanya mampu mengingatkan mereka agar kuatkan iman dan jangan nakal-nakal, korang juga mempunyai saudara-mara perempuan yang sudah semestinya tak ingin diperlakukan seperti itu.....walaupun diri 'aweks' itu sendiri yang mula menggoda, palingkanlah langkahmu wahai saudara....

Dan kata-kata ini ku ambil dari website http://genta-rasa.com/2010/01/18/cinta-itu-bukan-tuhan/ sebagai renungan untuk entriku kali ni.

Ironinya, ada yang berkata, “lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks. Wanita memberi seks untuk mendapatkan cinta.” Eksploitasi dan manipulasi cinta ini tidak akan memberi kebahagiaan kepada sesiapa – baik kepada lelaki mahupun kepada wanita. Lelaki yang mendapat seks dengan memperalatkan cinta, tidak akan pernah puas. Kehendak nafsu tidak terbatas dan tidak akan pernah puas. Melayani nafsu, umpama minum air laut… semakin diminum, semakin haus.
Manakala wanita yang memberi seks, kononnya untuk mendapat cinta, tidak akan mendapat cinta yang sejati. Mereka hanya akan menemui kasanova dan lelaki hidung belang yang hanya cinta sebelum dapat apa yang diidamkan, tetapi tunggulah sebaik sahaja habis manis sepahnya dibuang. Wanita-wanita malang ini bukan hanya kehilangan cinta, tetapi hilang maruah, kehormatan dan harga diri.

Letakkanlah cinta sebagai alat untuk beribadah kepada Allah. Ujudkanlah rumah tangga bahagia yang menjadi wadah tertegaknya kalimah Allah.

No comments:

Post a Comment